Kegunaan Air mawar

Dalam pemakanan

Air mawar mempunyai perisa yang tersendiri dan banyak digunakan dalam masakan Asia Barat—terutamanya lagi dalam halwa seperti nugat, gula-gula gam, dan baklava. Sebagai contoh, air mawar diguna dalam beberapa jenis halwa Inggeris (Turkish delight) untuk mendapat perisa yang dikenali ramai itu.

Di Iran, ia ditambah kepada teh, aiskrim, biskut, dan manisan lain dalam kuantiti yang sedikit, dan dalam masakan Arab, subbenua India ia digunakan untuk memerisa susu dan masakan tenusu seperti puding beras. Ia juga bahan yang penting dalam lassi, sejenis minuman diperbuat daripada yogurt, gula dan pelbagai jus buah, dan digunakan untuk membuat jallab. Di Malaysia dan Singapura, air mawar berwarna merah dibandungkan (digabungkan) dengan susu, yang menghasilkan minuman merah jambu manis dipanggil sirap bandung. Air mawar selalunya digunakan juga sebagai bahan pengganti halal untuk wain merah dan apa-apa alkohol yang digunakan dalam masakan; Liga Perdana Inggeris memberi minuman air mawar kepada pemain Muslim sebagai pengganti sampanyi.[6] Ia kadangkala ditambah kepada lemonad, dan juga ditambahkan pada air untuk menutup bau atau rasa yang tidak menyenangkan dalam air dari paip.

Marzipan telah lama diperisakan dengan air mawar.[7] Air mawar juga digunakan untuk membuat biskut Waverly Jumbles. Pembuat biskut di Amerika dan Eropah menyukai perisa air mawar dalam masakan mereka hinggalah abad ke-19 apabila perisa vanila menjadi popular. Di wilayah Yorkshire di England, air mawar telah lama digunakan sebagai perasa dalam kuih terkenal wilayah itu; iaitu tat serikaya Yorkshire atau Yorkshire curd tart.

Kosmetik dan perubatan

Di Eropah Zaman Pertengahan, air mawar digunakan untuk cuci tangan di meja makan semasa jamuan.[8]

Air mawar ialah bahan biasa dalam minyak wangi. Ubat salap air mawar kadangkala digunakan sebagai pelembap, dan air mawar kadangkala digunakan dalam bidang kosmetik seperti krim sejuk, penyegar dan pencuci muka. Sifat antikeradangan dalam air mawar memberi kesan yang elok kepada masalah kulit seperti Rosacea dan ekzema.[9] Ada orang di India gunakan air mawar dalam bentuk semburan untuk muka sebagi pewangi semulajadi dan juga pelembab, terutama sekali di musim sejuk. Ia digunakan dalam manisan India dan makanan lain (seperti gulab jamun). Air mawar juga direnjis di majlis perkahwinan India untuk mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Agama

Air mawar digunakan dalam upacara agama (seperti Islam, Hindu dan Majusi). Air yang digunakan untuk membersihkan Kaabah bercampurkan air dari Telaga Zam-Zam dengan air mawar sebagai pewangi. Dalam pengkebumian Islam di subbenua India dan Asia Tenggara, air mawar disiram dalam kubur sebelum meletakkan mayat. Ia juga digunakan dalam upacara Hindu juga. Air mawar juga ada dalam agama Kristian, terutama sekali di Gereja Ortodoks Timur.[10]Dalam kepercayaan Baha'i, Kitab Tersuci (Kitab-i-Aqdas 1:76) menyuruh pengikut agama itu untuk gunakanlah air mawar.

Rujukan

WikiPedia: Air mawar http://www.history-science-technology.com/Articles... http://www.scientiairanica.com/PDF/Articles/000004... http://www.rosense.uk.com/rosense.php http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=turkish+delig... http://www.holyapostlesgo.org/HolyWeek.asp http://www.dailymail.co.uk/news/article-2193671/Ma... https://books.google.be/books?id=jtgud2P-EGwC&pg=P... https://books.google.com/?id=jtgud2P-EGwC&pg=PA29&... https://books.google.com/?id=jtgud2P-EGwC&pg=PA29&... https://books.google.com/books?id=gFK_yx7Ps7cC&q=r...